22 Hadis Sahih Tentang Puasa Sunat (Bergambar)

22 Hadis Sahih Tentang Puasa Sunat (Bergambar)

Hadis Nabi Tentang Kelebihan Puasa Bulan Muharam

Abu Hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda: “Puasa yang paling baik selepas Ramadan adalah puasa pada bulan yang dimuliakan oleh Allah. Iaitu puasa pada bulan Muharam. Dan sebaik-baik sembahayang selepas sembahyang wajib adalah sembahyang sunat tahajud pada waktu malam.” – Hadis Riwayat Muslim

Hadis Nabi Tentang Kelebihan Puasa Bulan Syaaban

Saidatina Aisyah ra berkata: “Rasulullah tidak pernah berpuasa sunat asebanyak puasanya pada bulan Syaaban. Pada bulan ini baginda berpuasa sepanjang bulan.”

Dalam catatan lain disebut, “Baginda banyak berpuasa dalam bulan Syaaban.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Hadis Nabi Tentang Kelebihan Puasa Bulan Zulhijah

Abdullah bin Abbas berkata, Rasulullah bersabda: “Amalan soleh yang paling dicintai Allah adalah amalan pada hari-hari ini. Iaitu pada 10 hari pertama dalam bulan Zulhijah. Para sahabat berkata, ‘Wahai utusan Allah, tidakkah Allah juga menyukai amalan berjihad pada jalan Allah? Rasulullah menerangkan, ‘Allah menyukai orang yang berjihad pada jalan Allah pada 10 hari pertama bulan Zulhijah. Iaitu apabila dia keluar dari rumah membawa hartanya dan dia tidak kembali lagi kerana mati syahid.'” – Hadis Riwayat Bukhari

22 Hadis Sahih Tentang Puasa Sunat (Bergambar)

Hadis Nabi Tentang Kelebihan Berpuasa Pada Hari Arafah

Abu Qatadah berkata: “Rasulullah ditanya berkenaan berpuasa pada hari Arafah, iaitu pada 9 Zulhijah. Kemudian baginda menerangkan, ‘Puasa pada hari itu dapat menghapus dosa-dosa pada tahun lepas dan akan datang.'” – Hadis Riwayat Muslim

Hadis Nabi Tentang Kelebihan Berpuasa Pada Hari Asyura (Bulan Muharam)

Abdulullah bin Abbas berkata: “Rasulullah berpuasa pada hari Asyura iaitu pada 10 Muharam. Baginda memerintahkan umatnya supaya turut sama berpuasa pada hari itu.” – Hadis Riwayat bukhari dan Muslim

Abu Qatadah berkata: “Rasulullah ditanya berkenaan puasa pada hari Asyura iaitu 10 Muharam. Kemudian baginda berkata, ‘Puasa pada hari itu dapat menghapus dosa-dosa pada tahun lepas.'” – Hadis Riwayat Muslim

Abdullah bin Abbas berkata, Rasulullah saw bersabda: “Sekiranya saya masih hidup pada tahun hadapan, pasti saya berpuasa pada hari ke-9 bulan Muharam.” – Hadis Riwayat Muslim

Baca: Rukun Umrah ke-2: Tawaf – Jenis, Niat, Syarat, Sunat, Cara & Doa

Hadis Nabi Tentang Kelebihan Puasa Sunat 6 Hari Pada Bulan Syawal

Abu Ayyub berkata, Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian menyambungnya lagi 6 hari pada bulan Syawal, ia diibaratkan berpuasa selama setahun.” – Hadis Riwayat Muslim

Hadis Nabi Tentang Kelebihan Puasa Sunat Hari Isnin dan Khamis

Abu Qatadah berkata: “Rasulullah ditanya berkenaan kelebihan puasa sunat pada hari Isnin. Baginda menjawab, ‘Hari itu adalah hari saya dilahirkan, hari saya dilantik menjadi Rasul dan hari al Quran diturunkan kepada saya.'” – Hadis Riwayat Muslim

Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda: “Semua amalan ditunjukkan oleh para malaikat kepada Allah pada hari Isnin dan Khamis. Saya suka sekiranya amalan saya ditunjukkan kepada Allah dalam keadaan saya sedang berpuasa.” – Hadis Riwayat at Tirmidzi

Saidatina Aisyah berkata: “Rasulullah berusaha keras bagi membolehkannya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Ini kerana terdapat kebaikan yang besar padanya.” – Hadis Riwayat at Tirmidzi

Hadis Nabi Tentang Galakan Puasa Sunat 3 Hari Setiap Bulan

Abu Hurairah berkata: “Kekasih saya Rasulullah berwasiat 3 perkara kepada saya. Iaitu berpuasa 3 hari pada setiap bulan, melakukan 2 rakaat sembahyang sunat duha, dan melakukan sembahyang sunat witir sebelum saya tidur.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Abu Darda berkata: “Kekasih saya Rasulullah berwasiat 3 perkara kepada saya. Saya tidak meninggalkannya selagi saya hidup, iaitu berpuasa 3 hari pada setiap bulan, melakukan sembahyang sunat duha dan tidak tidur sebelum melaksanakan sembahyang sunat witir.” – Hadis Riwayat Muslim

Baca: Koleksi Doa Ibu Bapa – Gambar Percuma

Abdullah bin Amru bin al-As berkata, Rasulullah bersabda: “Berpuasa sebanyak 3 hari pada setiap bulan adalah sama dengan berpuasa selama setahun.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Qatadah bin Milhan berkata: “Rasulullah menyuruh kita berpuasa pada hari-hari putih. Iaitu pada hari ke-13, 14 dan 15.” – Hadis Riwayat Abu Daud

Abdullah bin Abbas berkata: “Rasulullah berpuasa pada hari-hari putih. Tidak kiralah sam ada ketika itu baginda berada di rumah ataupun sedang bermusafir.” – Hadis Riwayat al Nasa’ie

Hadis Nabi Tentang kelebihan Memberi Makan Kepada Orang Berpuasa

Zaid bin Khalid al Juhani berkata, Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa ketika waktu berbuka, beliau mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa ada sedikit pun pengurangan.” – Hadis Riwayat at Tirmidzi

Anas ra berkata: “Rasulullah menemui Sa’ad bin Ubadah. Sa’ad menghulurkan roti dan minyak kepada Rasulullah, lalu beliau pun makan. Selesai makan, beliau berkata, ‘Orang yang berpuasa bebuka di rumahmu. Orang yang bertakwa memakan makananmu. Dan para malaikat memohonkan kerahmatan untukmu.'” – Hadis Riwayat Abu Daud

Hadis Nabi Tentang Iktikaf di Masjid Pada Bulan Ramadan

Abdullah bin Umar berkata: “Nabi Muhammad beriktikaf di dalam masjid pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Saidatina Aisyah berkata: “Nabi Muhammad beriktikaf di dalam masjid pada 10 hari yang terakhir pada bulan Ramadan sehinggalah baginda meninggal dunia. Amalan ini menjadi ikutan oleh isteri-isteri baginda selepas itu.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Abu Hurairah berkata: “Nabi Muhammad saw beriktikaf di dalam masjid sebanyak 10 hari pada bulan Ramadan setiap tahun. Dalam tahun beliau meninggal dunia, beliau beriktikaf sebanyak 20 hari.” – Hadis Riwayat Bukhari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *