Bayar Zakat Fitrah Guna Duit Atau Beras? Bila Perlu Bayar?

Sebelum menjelangnya hari raya aidilfitri, salah satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh umat Islam adalah membayar ZAKAT FITRAH. Hukum membayar zakat fitrah adalah WAJIB bagi setiap orang Islam (dewasa dan kanak-kanak). Pun begitu, tanggungjawab membayar zakat fitrah bagi kanak-kanak adalah ke atas ibu bapa atau penjaganya. Secara umumya, zakat fitrah bagi si anak perlu dibayar oleh ketua keluarga sehinggalah dia tamat belajar atau sudah mula bekerja.

Abdulullah bin Umar berkata, maksudnya: Bahawasanya Nabi Muhammad saw telah menfardhukan zakat fitrah Ramadan sebanyak 1 gantang daripada tamar atau 1 gantang daripada gandum barli ke atas setiap yang merdeka atau hamba lelaki atau wanita daripada kaum Muslimin.

Hadis Riwayat at-Tirmidzi

Pada masa yang sama, sekiranya seseorang itu ingin melebihkan nilai bayaran zakat fitrahnya, hukumnya dibolehkan kerana pahalanya juga pastinya lebih banyak. Insya-Allah

Kelebihan dan Fadhilat Membayar Zakat Fitrah

Zakat Fitrah ini sedikit sebanyak mampu memberikan cahaya kegembiraan kepada golongan fakir miskin yang memerlukan untuk merasai juga nikmat hari raya aidilfitri. Oleh kerana ia diwajibkan untuk dibayar pada bulan Ramadan, ibadah ini juga boleh dianggap sebagai pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan. Mungkin, ibadah puasa kita punya kelompongan dan kekurangan yang kita sendiri tidak ketahui. Dengan adanya ibadah zakat fitrah ini, ia boleh berfungsi sebagai pelengkap / menokok kekurangan yang mungkin ada pada ibadah puasa Ramadan tersebut.

Bayar Zakat Fitrah Guna Duit Atau Beras? Bila Perlu Bayar?

Baca: (Sahih) 10 Hadis Bersedekah – Kelebihan dan Kebaikannya

Bayar Zakat Fitrah Guna Beras atau Duit?

Awalnya, zakat dibayar dalam bentuk makanan seperti buah tamar, gandum, beras dll mengikut timbangan / sukatan tertentu. Ini disebabkan makanan merupakan antara keperluan asas dalam kehidupan seharian. Namun, peredaran zaman telah mengubah kaedah pembayarannya mengikut kesesuaian semasa. Zakat juga boleh dibayar dengan menggunakan wang ringgit sama ada secara tunai mahupun dalam talian.

Nilai wang ringgit yang dibayar bergantung kepada nilai segantang / secupak beras bagi sesebuah kawasan berkenaan.

Waktu Afdal Bayar Zakat Fitrah

Waktu untuk kita membayar zakat fitrah adalah bermula masuknya 1 Ramadan hingga 1 Syawal sebelum solat sunat hari raya aidilfitri. Walaupun waktu paling afdal untuk membayar zakat fitrah adalah sebelum solat sunat hari raya, kita digalakkan untuk menyegerakan pembayaran zakat fitrah. Bimbang lupa untuk dibayar pada waktu itu dek kerana lalai dengan persiapan sambutan hari raya.

Hukum Lupa bayar Zakat Fitrah

Sebahagian ulama membolehkan pembayaran zakat fitrah dilakukan sebelum terbenam matahari 1 Syawal. Seeloknya bersegeralah untuk membayar kewajipan zakat fitrah ini. Umumnya pada Muslim akan membayar zakat selewatnya 25 ramadan bagi membolehkan duit yang dibayar ini disalurkan kepada orang yang berhak sebelum hari raya Aidilfitri.