Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah memerintahkan seluruh rakyatnya untuk mengakhiri puasa dengan memperbanyakkan istighfar mengingati Allah swt dan memberi sedekah.
Ini kerana, 2 amalan ini mampu menampal amalan puasa kita yang berlubang atau kekurangan.
Sehubungan itu, rebutlah seberapa banyak peluang yang ada pada bulan Ramadan ini dengan melakukan amal ibadah disamping memohon keampunan dan dilepaskan dari api neraka.
Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah diperhatikan setiap hari apa yang diperbuatnya untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Surah al-Hasyr, ayat 18
Waktu Bertadarus al Quran pada Bulan Ramadan
Secara umumnya, tadarus al Quran ini merupakan kumpulan ahli yang membaca al-Quran. Setiap ahli akan membaca satu muka surat. Manakala ahli yang lain akan mendengar, menyemak dan membetulkan bacaan tersebut sedikranya terdapat kesalahan berkaitan. Dengan kata lain, ia merupakan antara proses belajar al Quran bersama-sama secara beramai-ramai. Contohnya melalui aspek hukum, tajwid, pengertian, tafsiran dan pengajaran yang ada pada ayat suci yang dibacakan.
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Perumpamaan orang mukmin yang membaca al Quran adalah seperti limau, bau dan rasanya elok. Manakala perumpaan orang mukmin yang tidak membaca al Quran adalah seperti tamar, tiada bau biarpun rasanya manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca al Quran pula adalah seperti bunga selasih, baunya elok tetapi rasanya pahit. Manakala perumpaan orang munafik yang tidak membaca al Quran adalah seperti peria, tiada bau dan rasanya juga pahit.
Hadis Riwayat Bukhari
Amalan bertadarus al Quran ini tidak semestinya di masjid atau surau. Ia juga boleh dilakukan di tempat lain (selagimana bersesuaian) contohnya seperti di rumah, pejabat, tepi pantai, dewan orang ramai dll. Ia juga boleh dilakukan pada bila-bila masa mengikut kesesuaian masing-masing. Contohnya seperti selepas solat Terawih, selepas solat Subuh mahupun selepas solat Asar.
Ia juga tertakluk kepada kelancaran ahli samaada kurang lancar atau gagap bacaannya. Seorang ahli tadarus al Quran perlu komited dan bijak dalam memperuntukan masa. Sesungguhnya, kehidupan di bawah naungan al Quran merupakan satu nikmat yang tidak dapat dirasai melainkan orang yang menghayatinya.
Baca: Indah – Zikir Hari Isnin – Penenang Hati
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Jangan jadikan rumah kamu (seumpama) tempat perkuburan. Sesungguhnya, syaitan lari daripada rumah yang didalamnya dibacakan surah al-Baqarah.
Hadis Riwayat Ahmad
Dalil dan Cara Untuk Beriktikaf
Apa itu Iktikaf?
Ia merupakan perbuatan duduk (berhenti) di dalam masjid / surau dan berada di dalamnya buat seketika dengan niat untuk bermunajat kepada Allah swt. Tuduhan yang mengatakan bahasa individu yang duduk di masjid sebagai malas adalah tidak berasas sama sekali. Bahkan, amalan ini merupakan antara amalan mulia dan digalakkan dalam Islam.
Abdulillah bin Umar ras berkata, maksudnya: Nabi Muhammad saw beriktikaf pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan.
Hadis Riwyaat Bukhari
Firman Allh swt dalam al Quran, maksudnya:
Janganlah kamu bersama (bersetubuh) dengan isterimu sedangkan kamu beriktikaf di masjid.
Surah al Baqarah, ayat 187
Baca: Rukun Islam: Penerangan Tentang Asas Agama
Tujuan Beriktikaf
Iktikaf dilakukan dalam usaha untuk menenagkan akal fikiran dan hati. Ia juga sebagai menjadi asbab untuk membersihkan hati dan mendekatkan lagi diri kita sebagai hamba-Nya dengan cara yang amat mudah iaitu hanya perlu duduk di dalam masjid sambil berzikir atau menyebut / memuji kebesaran Allah yang Maha Esa.
Cadangan atau Cara Iktikaf
- Masuk ke dalam masjid atau surau lengkap dengan wuduk
- Solat sunat Tahyatul Masjid 2 rakaat
- Sebaik selepas solat sunat, niatlah dalam hati untuk beriktikaf di dalam masjid
- Lakukan aktiviti dan amal ibadah seperti berzikir, tahmid, selawat ke atas Nabi Muhammad saw, membaca al Quran dll
- Ibadah ini menjadi lebih baik sekiranya dilakukan bersekali dengan qiamulail (bangun malam untuk menunaikan solat sunat Tahajud) disamping solat-solat sunat yang lain (Tasbih, Hajat, Witir dll)
Bagi yang sibuk bekerja pada siang hari, mungkin boleh dicadangkan untuk beriktikaf seawal berbuka di Masjid / surau. Seterusnya solat Maghrib, Isyak, terawih hingga selesai solat sunat Witir. Kemudiannya selepas usai moreh, disambung pula dengan aktiviti bertadarus al Quran hingga sekitar 11.00 malam.
Terdapat juga masjid / surau yang menganjurkan program qiamulail seawal 4 pagi yang diisi dengan zikir, bacaan al quran disamping solat sunat secara berjamaah seperti solat tahajud, solat hajat, solat tasbih. Kemudiannya diadakan jamuan bersahur secara beramai-ramai dan diakhir dengan solat subuh secara berjamaah. Usai majlis berakhir, pada hadirin boleh terus ke tempat kerja atau melakukan rutin harian masing-masing.
Aktiviti iktikaf ini mungkin boleh dipanjangkan lagi pada hari cuti. Amalan iktikaf ini sangat dituntut dalam islam khususnya pada 10 malam terahir dalam usaha untuk menggandakan amalan dan mencari lailatul qadar. Jom kita sama-sama meriahkan masjid dengan aktiviti beriktikaf ini.
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Keadaan yang paling dekat bagi seorang hamba dengan tuhannya adalah ketika dia bersujud. Maka, perbanykkanlah berdoa.
Hadis Riwayat Muslim
Cara Melakukan Tahajud
Amalan tahajud dilakukan bermula pada 1 per 3 malam sehinggalah sebelum waktu Subuh. Umumnya amalam ini turut diamalkan pada luar bulan Ramadan. Namun, kebiasaannya amalan ini umpama sebuah ‘perayaan’ pada bulan Ramadan yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam. Waktu untuk bangun sahur merupakan masa yang sesuai untuk bertahajud (sebelum atau selepasnya)
Antara amalan yang boleh dilakukan sewaktu bertahajud atau qiamulail adalah seperti berikut:-
Pertama: Membaca Doa Bangun Tidur
Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku selepas mematikanku dan kepada-Nya sahajalah kebangkitan.
Hadis Riwyaat Bukhari
Tiada tuhan selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kekuasaan dan pujian. Dia (Allah) Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Maha Suci Allah. Segala puji bagi Allah. Tiada tuhan selain Allah. Allah Maha Besar. Tiada daya dan kuasa melainkan dengan (pertolongan) Allah yang Maha Tinggi lagi Agung.
Hadis Riwayat Ibnu Majah
Namun, sekiranya punya kesukaran / lupa untuk membacanya, memadai untuk sekadar menyebut nama Allah atau berselawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw.
Kedua: Membersihkan diri – bersugi, mandi, buang air, berwuduk dll
Ketiga: Mendirikan solat sunat Tahajud dan solat sunat Tasbih
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: Hendaklah kamu bersolat malam kerana sesungguhnya ia merupakan amalan orang soleh sebelum kami. Sesungguhnya, amalam qiamulail mendekatkan hamba kepada Allah, pencegahan daripada dosa, penghapus kesalahan dan penghilang penyakit daripada jasad.
Hadis Riwayat at-Tirmidzi
Solat Sunat Tahajud amat mudah untuk dilakukan. Ia boleh dilakukan sekurang-kurangnya sebanyak 2 rakaat atau sehingga 8 rakaat iaitu 1 salam bagi setiap 2 rakaat.