SOLAT TAHAJUD lebih sangat digalakkan untuk dilaksanakan berbanding solat-solat sunat yang lain.
Dari sudut bahasa, tahajud boleh didefinisikan sebagai meninggalkan tidur. Manakala dari sudut istilahnya pula, ia merupakan solat yang dilakukan pada waktu malam selepas Isyak setelah bangun daripada tidur.
Oleh itu, solot tahajud juga dinamakan dengan Qiamullail.
Firman Allah swt, maksudnya: Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat Tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperoleh lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka. Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. - Surah al-Sajdah, ayat 16-17
Dalil Hadis Mengenai Solat Tahajud
- Kelebihan Ayat 3 Kul : Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas Menurut Hadis
- Surah al Baqarah Ayat 1-5 Rumi, PDF Jawi, Terjemahan Bahasa Melayu
- 17 Ayat – Ayat Ruqyah Syariah, Panduan Lengkap
- Solat Tahajud, Waktu, Niat, Tata Cara, Doa
Daripada Abu Hurairah ra, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah puasa sunat pada bulan Muharam, manakala solat yang paling utama selepas solat fardu ialah solat tengah malam (Qiamullail).” – Hadis Riwayat Muslim
Daripada Asma binti Yazid, Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada hari kiamat, lalu kedengaran satu suara yang menyeru: ‘Siapakah (di dunia) yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka (untuk Qiamullail)?’ Lalu sekumpulan kecil orang yang bangun malam itu masuk syurga tanpa hisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab kepada semua manusia. – Hadis Riwayat al-Baihaqi
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Hendaklah kamu berqiamullail kerana ia merupakan perjalanan orang yang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya Qiamullail mendekatkan kamu kepada Allah, menghalang melakukan dosa, Kifarah di atas kejahatan dan mencegah penyakit daripada badan.” – Hadis Riwayat al-Tirmidzi
Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya “Sesungguhnya pada malam terdapat satu waktu yang tiadalah seorang hamba Muslim berada pada waktu itu dengan berdoa meminta kebaikan kepada Allah kecuali dikurniakan kepadanya dan demikian itu setiap malam.” – Hadis Riwayat Ahmad
Dalil al Quran Mengenai Solat Tahajud
Firman Allah swt maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. – Surah al-Isra’, ayat 79
Firman Allah swt maksudnya: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah pada sedikit waktu di waktu malam, iaitu separuh daripada waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. – Surah al-Muzzammil, ayat 1-3
Firman Allah swt maksudnya: Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). – Surah al-Dzariyat, ayat17-18
Doa Solat Tahajud Rumi (1)
Ya Allah, bagi-Mu segala puja dan puji, Engkaulah yang mengatur langit dan bumi serta segala isinya. Bagi-Mu segala puja dan puji, Engkaulah raja langit dan bumi serta segala isinya. Bagi-Mu segala puja dan puji, Engkau Maha Benar, janji-Mu benar, pertemuan dengan-Mu benar, firman-Mu benar, syurga itu benar, neraka juga benar, para nabi dan rasul juga benar dan Muhammad SAW itu benar dan hari kiamat itu benar.
Hadis Riwayat Ibn Majah
Doa Solat Tahajud Rumi (2)
Ya Allah, kepada-Mu aku berserah diri, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku menyerahkan semua urusanku, kepada-Mu aku kembali, kerana-Mu aku memushi dan kepada-Mu aku menuntut, maka ampunilah segala dosaku yang telah aku lakukan dan yang belum aku lakukan dan yang aku rahsiakan dan yang aku nyatakan, Engkaulah Zat yang Maha Dahulu dan Zat yang Maha Terakhir, tiada tuhan selain Engkau.
Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim