Surah Al Quraisy – Rumi, Terjemahan, Tafsir Ringkas, Kelebihan dan Pengajaran

Surah ini dinamakan sebagai ‘al-Quraisy’ kerana di dalamnya Allah swt menceritakan tentang kaum ini secara khusus.

Surah ini juga dinamakan sebagai Liilafi Quraisy, Jumhur ulamak mengatakan surah ini diturunkan di Mekah sesudah turunnya surah at-Tin, sebelum surah al-Qariah.

Surah ini menyelitkan pengajaran bahawa keamanan selepas ketakutan dan makanan selepas kelaparan ialah nikmat yang amat besar buat manusia.

Surah Al Quraisy Rumi, Jawi dan Terjemahan Bahasa Melayu

Surah Al Quraisy Rumi

  1. Li Llaafi Quraysyin
  2. Lilaafihim Rihlatas-Syitaai Was-Shayf
  3. Falya’buduu Rabba Haa-Dzal Bayti
  4. Alladzi Ath’amahum Minjuu’in Wa Amanahum Min Khawf.
Ringkasan Tafsir Surah Al Quraisy – Rumi, Terjemahan, Kelebihan dan Pengajaran

Terjemahan Bahasa Melayu Surah Al Quraisy

  1. Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy
  2. (Iaitu) kebiasaan mereka bepergian pada musim dingin dan musim panas
  3. Maka hendaklah mereka beribadah kepada Rabb Pemilik rumah ini (Kaabah)
  4. Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Ringkasan Tafsir Surah Al Quraisy: Kelebihan dan Pengajaran

Secara umumnya, surah ini menceritakan tentang kurniaan yang dianugerahkan oleh Allah swt terhadap kaum Quraisy. Ia memberi peringatan kepada hamba-hamba-Nya supaya sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan dan tidak menggunakannya untuk mengingkari-Nya. Ia juga mengingatkan penduduk Mekah untuk mengikut petunjuk Allah swt serta beribadah hanya kepada-Nya sahaja.

Ayat 1 dan 2: Li Llaafi Quraysyin. Lilaafihim Rihlatas-Syitaai Was-Shayf (Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (Iaitu) kebiasaan mereka bepergian pada musim dingin dan musim panas)

"Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahwa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya rampok-merampok." - Surah Al-' Ankabut, ayat 67)

Kebiasaan yang dimaksudkan dalam surah ini adalah: ada ulama menyatakan yang dimaksudkan dengan hal tersebut ialah kebiasaan mereka melakukan perjalanan pada waktu musim dingin ke kota Yaman serta pada musim panasnya pula ke kota Syam untuk berdagang dan keperluan lainnya.

Kemudian setelah itu (aktiviti berdagang) mereka kembali ke negeri sendiri dengan aman dalam perjalanan mereka disebabkan oleh keagungan diri mereka menurut pandangan orang-orang. Ini kerana, mereka itu termasuk penduduk tanah suci Allah (kota Mekah).

Orang yang mengetahui mereka itu pasti akan menghormati mereka. Bahkan, orang yang turut serta berjalan dengan mereka pun akan merasa aman. Demikianlah keadaan mereka dalam perjalanan mereka ini, baik pada waktu musim dingin mahupun pada musim panas.

Ayat 3: Falya’buduu Rabba Haa-Dzal Bayti (Maka hendaklah mereka beribadah kepada Rabb Pemilik rumah ini (Kaabah))

Ayat ini menekankan bagi mereka supaya mentauhidkan diri-Nya dengan beribadah sebagaimana halnya. Allah swt telah menjadikan bagi diri mereka serta tanah suci yang aman sekaligus rumah yang suci iaitu tanah haram Makkah dan Ka’bah yang merupakan Baitullah (rumah Allah) yang dimuliakan. Ia bertepatan dengan Firman Allah swt berikut:

"Aku hanya diperintahkan untuk beribadah kepada Rabb negeri ini (Makkah) yang telah menjadikannya suci dan kepunyaan-Nyalah segala sesuatu, dan aku diperintahkan supaya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." - Surah An-Naml, ayat 91

Ayat 4: Alladzi Ath’amahum Minjuu’in Wa Amanahum Min Khawf. Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.

Bahawasanya Allah swt adalah Pemilik rumah ini (Kaabah) yang disucikan orang-orang Quraisy. Dan tidak dapat dinafikan bahwa Allah jua yang telah memberi makan kepada mereka dari rasa lapar yang pastinya mengganggu aktiviti keseharian mereka.

Allah swt juga menganugerahkan kepada mereka rasa aman dan juga keringanan. Kerana itu, hendaknya mereka mengesakan Allah dalam beribadah hanya kepada-Nya semata yang tiada sekutu bagi-Nya. Serta tidak beribadah kepada selain dari-Nya sama ada dalam bentuk patung, sekutu, mahupun berhala.

Oleh kerana itu, barangsiapa memenuhi perintah tersebut, nescaya Allah swt akan menggabungkan untukya rasa aman di dunia dan rasa aman di akhirat. Dan barang siapa yang mendurhakai-Nya, maka Dia akan mengambilnya (rasa aman tersebut).