Surah An Nas – Rumi, Terjemahan, Tafsir Ringkas, Kelebihan dan Pengajaran

Surah ini dinamakan sebagai ‘an-Nas’ atau jika diterjemahkan kepada bahasa Melayu bermaksud ‘manusia’ kerana kalimah ini diulang sebanyak 6 kali pada setiap ayat.

Surah An-Nas merupakan surah terakhir dalam al-Quran mengikut susunan mushaf selepas turunnya Surah al-Falaq.

Surah yang mengandungi 6 ayat ini turut dinamakan sebagai Al-Mu’awwizah As-Thaniah atau dalam terjemahan Bahasa Melayu ‘Pelindung kedua’.

Surah An-Nas – Jawi, Rumi dan Terjemahan Bahasa Melayu

Ringkasan Tafsir Surah An Nas - Terjemahan Rumi, Kelebihan dan Pengajaran

Terjemahan Bahasa Malaysia Surah An-Nas

  1. “Katakanlah: “Aku berlindung kepada Rab (yang memelihara dan menguasai) manusia
  2. Raja manusia
  3. Sembahan manusia
  4. Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi
  5. yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia
  6. daripada (golongan) jin dan manusia”

Ringkasan Tafsir Surah An-Nas

Surah an-Nas merupakan permohonan perlindungan dengan 3 sifat Allah swt untuk satu kejahatan sahaja (ayat 1 – 4). Surah ini memberi penekanan bahawa musibah dunia sememangnya banyak. Namun, ia adalah kecil jika dibandingkan dengan musibah agama bagi diri seorang hamba-Nya.

  • Ayat 1: Tuhan manusia
  • Ayat 2: Raja manusia
  • Ayat 3: Sembahan manusia
  • Ayat 4: Kejahatan bisikan syaitan yang tersembunyi

Surah yang mempunyai 20 kalimah ini mengajar kita agar meminta perlindungan dari ‘Tuhan Manusia’ iaitu Allah swt dalam apa jua urusan hidup. Ini kerana, hanya Dialah Tuhan yang memelihara, mendidik dan menjaga segala urusan manusia. Allah swt jua yang mentadbir segala urusan.

3 sifat Allah swt iaitu Rububiyyah, Mulkiyyah (Raja) dan Illahiyyah. Dimana, Dia adalah pemeliharan segala sesuatu sekaligus sebagai Raja dan RabbNya. Oleh itu, segala sesuatu yang ada ini adalah makhluk ciptaan-Nya, hamba sekaligus abdi-Nya. Maka itu Dia memerintahkan kepada semua yang hendak memohon perlindungan agar berlindung kepada Zat yang memiliki ketiga sifat ini daripada bisikan syitan khannas (syaitan yang ditugaskan untuk menggoda manusia). Ini kerana, setiap keturunan Adam memiliki satu teman yang akan sentiasa membisikkan hasutan agar melakukan dosa.

"Tidak seorang pun di antara kalian melainkan telah diutus kepadanya pendampingnya."

Para sahabat bertanya: "Termasuk engkau, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ya, hanya saja Allah membantuku dalam menyikapinya sehingga ia masuk agama Islam, maka kerananya ia tidak menyuruh aku kecuali hal yang baik-baik."

- Hadis Riwayat Muslim dan Imam Ahmad

مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ (Syaitan yang biasa bersembunyi)

Said bin Jubair menerangkan daripada Ibnu Abbas: ‘Iaitu syaitan yang selalu berada di dalam hati manusia; yang jika manusia lberlengah atau lalai, maka ia akan memberikan bisikan, dan jika manusia berzikir kepada Allah swt maka syaitan itu akan bersembunyi.