Panduan Bacaan: 13 Rukun Solat – Qalbi, Qauli dan Fi’li

SOLAT merupakan amal ibadah pertama yang akan ditanya dan ditimbang bagi setiap orang Muslim pada hari Kiamat kelak. Amalan seseorang hamba di akhirat kelak pasti akan menghadapi kesulitan jika ibadah solatnya tidak dilakukan dengan baik.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan solat serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dan berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. – Surah al-Baqarah 2: 227

Seorang munafik mungkin sanggup membelanjakan beratus bahkan beribu dollar untuk sedekah, zakat, umrah atau menunaikan ibadah haji yang kerap. Namun, dia tidak mungkin akan berupaya mengerjakan ibadah solat fardu 5 kali sehari setiap hari dengan sempurna. Kerana, sesungguhnya tanggungjawab ibadah solat fardu ini beratnya mengatasi amal ibadah yang lain.

Solat harus dilakukan pada waktu-waktu tertentu adapun solat yang wajib dilakukan ada 5 waktu iaitu Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh.

RUKUN SOLAT merupakan unsur utama dalam mengerjakan solat yang sempurna. Justeru, amat penting untuk kita mengetahui setiap rukun yang ada dan melakukannya dengan sempurna tatkala mengerjakan solat. Ulama berbeza pendapat mengenai jumlah rukun solat. Namun, MAzhab Syafie menetapkan rukun atau fardhu solat ada 13 (tiga belas)

Panduan Bacaan: 13 Rukun Solat - Qalbi, Qauli dan Fi'li

Rukun solat terbahagi kepada 3 iaitu:-

Rukun Qalbi (Pekerjaan hati yang merupakan rukun dalam solat)

  • Niat

Rukun Qauli (Perkataan yang merupakan rukun dalam solat)

  • Takbiratulihram
  • Membaca al-Fatihah
  • Tahiyat Akhir
  • Selawat ke Atas Nabi
  • Salam Pertama

Rukun Fi’li (Perbuatan yang merupakan rukun dalam solat)

  • Berdiri
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk Antara 2 Sujud
  • Duduk Tahiyat Akhir
  • Tertib

Rukun solat merupakan perkara yang perlu dilakukan ketika solat dalam bentuk amalan hati, perturutan dan perbuatan yang khusus dan tidak sah solat seseorang itu jika salah satu daripada rukun-rukunnya diabaikan.

RUKUN 1: BERDIRI TEGAK BAGI YANG MAMPU

Seseorang itu dianggap berdiri dengan sempurna tatkala dia berada dalam keadaan tegak. Bagaimanapun, kewajipan ini hanya untuk solat fardu dan bagi mereka yang mampu melakukannya sahaja. Sekiranya dia sakit hingga tidak dapat berdiri, memadai sekiranya dia duduk atau baring sahaja.

Seandainya seseorang itu tidak dapat meluruskan belakangnya dek kerana terlalu tua atau sakit, memadai sekiranya dia sekadar berdiri semampunya dan rukuk sekadar membezakan di antara perbuatan berdiri dan rukuk.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: Solatlah dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu dalam keadaan berdiri, duduklah. Dan jika kamu tidak mampu juga, hendaklah kamu baring di atas lambung kamu (mengiring). – Hadis Riwayat Bukhari

Dalam situasi tertentu, islam membolehkan kita bersolat mengikut kemampuan.

Baca: Doa dan Cara Solat Dhuha Ringkas – Rumi

RUKUN 2: NIAT

Niat solat hendaklah disertakan ketika lafaz takbiraulihram. Namun, ia juga disunatkan untuk dilafazkan sebelum itu sama ada dalam bahasa arab atau sebarang bahasa yang difahami.

Panduan Bacaan: 13 Rukun Solat - Qalbi, Qauli dan Fi'li
Panduan Bacaan: 13 Rukun Solat - Qalbi, Qauli dan Fi'li
Panduan Bacaan: 13 Rukun Solat - Qalbi, Qauli dan Fi'li
Panduan Bacaan: 13 Rukun Solat - Qalbi, Qauli dan Fi'li

RUKUN 3: TAKBIRATULIHRAM

Daripada Ali bin Abi Talib, katanya Nabi Muhammad SAW telah bersabda, maksudnya: Kunci solat adalah bersuci. Permulaannya ialah takbir dan penyudahnya ialah salam. – Hadis Riwayat Abu Daud.

Takbiratulihram hendaklah dengan lafaz Allahuakbar.

Syarat-Syarat Takbir

  • Ketika melafazkan takbir, hendaklah berada dalam keadaan berdiri (bagi yang mampu).
  • Melafazkannya ketika menghadap kiblat
  • Melafazkannya dalam bahasa Arab. Namun, jika tidak mampu kerana jahil, harus menggunakan bahasa lain. Tetapi dia wajib untuk mempelajarinya jika mampu.
  • Lafaz tabir yang diucapkan hendaklah didengarinya sendiri. Tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan.

Baca: Koleksi Bergambar: Zikir Harian Selepas Solat

RUKUN 4: MEMBACA SURAH AL-FATIHAH

Surah al-Fatihah wajib dibaca dalam setiap rakaat pada semua jenis solat fardu dan sunat, secara berjemaah mahupun sendirian.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Tidak sah solat siapa yang tidak membaca al-Fatihah. – Hadis Riwayat Muslim

Syarat Sah Bacaan Surah al-Fatihah

  • Pembaca dapat mendengar bacaannya. Tidak salah membaca dengan hanya menggerakkan mulutnya sahaja.
  • Dibaca secara tertib iaitu mengikut susunan ayat.
  • Kesemua 14 syaddah dalam surah al-Fatihah hendaklah dibaca dengan tepat. Batal solat orang yang tertinggal walau satu syaddah dalam surah al-Fatihah.
  • Melafazkan setiap kalimahnya dengan betul dan tepat tanpa mengubah makna.
  • Dibaca secara terus menerus tanpa diselangi dengan berhenti yang lama melainkan untuk menarik nafas atau batuk.
  • Hendaklah dibaca dalam bahasa Arab. Solat tidak sah jika ianya dibaca dalam bentuk terjemahan ayat.
  • Bacaannya perlu disempurnakan dalam keadaan berdiri (bagi yang mampu). Tidak sah solat jika dia rukuk tatkala bacaan surah al-Fatihah belum tamat.

RUKUN 5: RUKUK

Rukuk merupakan perbuatan orang yang bersolat dengan cara menundukkan badannya sekurang-kurangnya sehingga tangannya dapat menyentuk lutut.

Firman Allah SWT, maksudnya: Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah. – Surah al-Hajj 22: 77

Syarat Rukuk

1.Membongkokkan badan

Daripada Abu Humiad al-Sa;idi berkenaan sifat solat Nabi Muhammad SAW, katanya

Maksudnya: Apabila Baginda rukuk, dia menekan kedua-dua tangannya ke lututnya. – Hadis Riwayat Bukhari.

2.Kedua tangannya di atas lutut

Abu Mas’ud Uqbah berkata

Maksudnya: Baginda berdiri lurus dan bertakbir kemudian rukuk dengan merenggangkan kedua-dua tangannya dan meletakkan di atas lutut. Kemudian Baginda merenggangkan jari-jarinya dan menutup seluruh lututnya. – Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasa’e dan Abu Daud

3.Tidak mendongak kepala ketika rukuk dan juga tidak menundukkannya.

Daripada Aisyah, katanya

Maksudnya: (Rasulullah) apabila rukuk Baginda tidak mengangkat kepalanya dan tidak juga menundukkannya, tetapi pertengahan di antara keduanya. – Hadis Riwayat Ahmad

4.Berada dalam keadaan tenang dan tamakninah.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: ‘Seburuk-buruk manusia ialah pencuri yang mencuri dal;am solatnya.’ Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana mencuri dalam solat itu?’ Baginda menjawab: ‘Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.’. – Hadis Riwayat Ahmad

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu rukuk dan membaca rukunnya subhana rabbiyal-‘azim sebanyak tiga kali. Dia telah menyempurnakan rukuknya dan itu adalah sekurang-kurangnya (rukuk). – Hadis Riwayat al-Tirmizi

RUKUN 6: IKTIDAL

Merupakan perbuatan berdiri yang memisahkan di antara rukuk dan sujud.

Aisyah berkata, Maksudnya: Apabila Baginda mengangkat kepalanya daripada rukuk, Baginda tidak akan sujud sehinggalah Baginda berdiri tegak. – Hadis Riwayat Muslim

RUKUN 7: SUJUD

Merupakan perbuatan orang bersolat yang menyentuh / meletakkan dahinya / sebahagian daripada dahinya yang tidak berlapik ke tempat sujud.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Apabila kamu sujud letakkan dahimu ke tanah sehingga bertemu tanah. – Hadis Riwayat Ahmad

Rasulullah SAW bersabda, maksdunya: Kemudian sujudlah kamu sehingga kamu tenang (tamakninah) dalam keadaan sujud. Kemudian angkat (kepala kamu) hingga kamu tenang (tamakninah) dalam keadaan duduk kemudian lakukanlah sedemikian dalam setiap solat kamu. – Hadis Riwayat al-Nasa’i

Syarat Sujud

1.Sujud yang dilakukan hendaklah melibatkan 7 anggota badan.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Aku telah diperintahkan agar bersujud pada 7 anggota badan: dahi kemudiannya mengisyaratkan ke arah hidungnya, kedua-dua tangannya, dua lutut, hujung jari-jari kaki. – Hadis Riwayat Ahmad.

2.Hendaklah terangkat bahagian punggung melebihi kepala (semampunya)

3.Tidak sujud di atas kain atau pakaian yang bersambung dengan orang yang bersolat, sedangkan kain itu bergerak mengikut pergerakannya. Contohnya seperti serban / jubah yang panjang.

RUKUN 8: DUDUK DI ANTARA 2 SUJUD

Tidak duduk dalam tempoh yang terlalu lama / lebih lama daripada duduk ketika membaca tasyahud. Dilakukan secara tamakninah.

RUKUN 9: DUDUK TASYADUT AKHIR

Duduk yang sempurna dalam keadaan ini ialah meletakkan papan punggung kiri di atas lantai dan mendirikan tapak kaki kanan di atas jejarinya. Namun, sekiranya duduk dilakukan cara lain, solat tetap sah kerana yang menjadi rukun adalah duduk.

RUKUN 10: MEMBACA TASYADUD AKHIR

RUKUN 11: SELAWAT KE ATAS NABI

RUKUN 12: SALAM YANG PERTAMA

Salam merupakan rukun terakhir sebagai tanda menutup solat. Salam pertama diucapkan sambil berpaling ke kanan dan salam kedua sambil berpaling ke kiri. Bagaimanapun, salam pertama sahaja yang wajib. Manakala salam yang kedua dan perbuatan berpaling ke kiri dan kanan adalah sunat.

Saad berkata, maksudnya: Aku melihat Rasulullah SAW memberi salam ke kanan dan kiri sehingga aku nampak pipinya yang putih. – Hadis Riwayat Muslim

RUKUN 13: TERTIB

Kita wajib bersolat mengikut turutan rukun solat yang telah ditetapkan. Dengan kata lain, seandainya terdapat sesetengah rukun yaang didahulukan atau dikemudiankan secara sengaja, maka batal solat tersebut.