Hukum Menunaikan Umrah Banyak Kali / Berulang Kali

UMRAH boleh dimaksudkan sebagai ziarah (kunjungan). Ada juga yang mendefinisikan umrah sebagai pergi menuju tempat yang ramai yang boleh dilakukan sepanjang masa dalam hidup.

Namun, dari segi bahasa mudahnya UMRAH itu bererti pergi menuju Kaabah untuk mengerjakan ibadah dengan cara-cara tertentu.

Dalil dan Hukum Umrah

Sebahagian ulama berpendapat wajib mengerjakan satu kali umrah seumur hidup. Ia adalah berdasarkan kepada dalil al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad saw.

Firman Allah SWT, maksudnya: "dan sempurnalah haji dan umrah kerana Allah."- Surah Al-Baqarah : 196
Aisyah ra yang menyatakan bahawa dia bertanya, 'wahai Rasulullah, apakah kaum wania harus berjihad?' Baginda menjawab, ya, mereka harus melakukan jihad tanpa perang, iaitu haji dan umrah.'- Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah

Secara lisan, hadis ini menunjukkan bahawa hukum umrah adalah wajib. Namun, sebahagian ulamak lain berpendapat bahawa hukum umrah adalah sunah (mustahab) dan bukan wajib.

Hukum Menunaikan Umrah Banyak Kali / Berulang Kali

Sebaiknya tunaikanlah umrah walaupun hanya sekali seumur hidup. Ini kerana, melakukan sesuatu berdasarkan dalil dengan lebih menganggapnya sebagai wajib akan melepaskan diri dari dipertanggungjawapkan kelak.

Hukum Menunaikan Umrah Berulang (Banyak) Kali

Berapa kali kita boleh mengerjakan umrah? Terdapat dua situasi dimana, iaitu seseorang itu mengerjakan umrah berulang kali dalam satu tahun perjalanan yang berbeza dan juga situasi dimana ibadah umrah itu berulang kali dilakukan dalam satu perjalanan.

Melakukan umrah berulang kali dalam satu tahun dengan perjalanan yang berbeza

Menurut pendapat ulama yang kuat, hukumnya adalah boleh atau dianjurkan (mustahab). Aisyah ra juga menunaikan ibadah umrah dua kali dalam satu bulan atas perintah Nabi saw iaitu umrah dalam rangkaian ibadah haji dan juga umrah yang dikerjakannya dengan mengambil Miqat dari Tan’im.

Umrah yang disusuli dengan umrah yang berikutnya, akan dapat menghapuskan dosa selama rentang waktu antara keduanya. - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Melakukan umrah berkali-kali dalam satu perjalanan

Para ulama berselisih pendapat tentang kebolehannya. Apabila seseorang mengerjakan umrah sebelum haji (qiran atau tamattu’) lalu bermaksud hendak mengerjakan umrah lagi setelah menyelesaikan seluruh manasik haji, juga apabila dia telah melakukan perjalanan umrah biasa dan hendak melakukannya lagi dengan cara mengambil miqat dari Tan’im, maka umrah berkali-kali dalam keadaan tersebut tidak dibenarkan agama.

Kerana, Nabi saw dan para sahabat tidak mengerjakannya seumpamanya. Selain itu, melakukan tawaf di Kaabah lebih utama daripada saie. Adalah lebih baik untuk kita memperbanyakkan tawaf dan tidak menyibukkan diri dengan memperbanyakkan umrah.

Susulilah haji dan umrah (dengan haji dan umrah lainnya), kerana keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa seperti pembakaran yang melenyapkan kotoran (karat) pada besi, emas dan perak. - Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan An-Nasa'ie

Namun, menurut Ibnu Baz Rahimahullah dalam Kitab Taudhihul Ahkam, apabila seseorang itu tidak sempat mengerjakan umrah sebelum haji, seperti yang dialami oleh ‘Aisyah ra kerana datang haid, maka dalam keadaan seperti ini orang itu boleh mengerjakan umrah setelah menyelesaikan manasik haji.