Kelebihan Ayat 3 Kul : Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas Menurut Hadis

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Daripada Ubay bin Ka’ab bahawa kaum musyrik pernah berkata kepada Nabi Muhammad saw:

“Wahai Muhammad, terangkan kepada kami nasab Rabbmu.”Maka Allah menurunkan ayat-Nya (surah al-Ikhlas): Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Kelebihan Surah al-Ikhlas

Allah Menyukainya

Daripada Aisyah ra, bahawa Nabi Muhammad saw pernah mengutus seseorang dalam suatu peperangan dan saat itu dia membacakan al-Qur-an (mengimami) para Sahabatnya dalam solat mereka, dia menutupnya dengan surah al-Ikhlas. Ketika mereka kembali, mereka menuturkan hal itu kepada Nabi Muhammad saw, maka Baginda berkata: “Tanyakan kepadanya, untuk apa dia melakukan hal tersebut.” Kemudian mereka bertanya kepadanya, lalu dia menjawab: “Kerana ia merupakan sifat Ar-Rahman, dan aku suka membacanya.” Maka Nabi bersabda: “Beritahukan kepadanya bahwa Allah menyukainya.” – Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan an-Nasa’ie.

Menyamai satu pertiga al-Quran

Daripada Abu Sa’id, bahawasanya ada seseorang mendengar orang lain membaca (surah al-Ikhlas) yang dia ulang berkali-kali. Saat pagi hari tiba, dia mendatangi Nabi Muhammad dan menceritakan peristiwa itu kepada Baginda. Dan orang itu merasa masih terlalu sedikit membacanya, maka Nabi saw bersabda: “Demi Rabb yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya surah itu menyamai sepertiga al-Qur-an.” – Hadis Riwayat Bukhari, Abu Daud dan an-Nasa’ie.

Kelebihan Ayat 3 Kul : Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas Menurut Hadis

Pembacanya Masuk Syurga

Daripada Ubaidillah bin Abdirrahman, dari Ubaid bin Hanin, bahawa dia bercerita: “Aku pernah mendengar Abu Hurairah menuturkan: ‘Aku pernah pergi bersama Nabi Muhammad saw, lantas Baginda mendengar seseorang membaca: (Surah al-Ikhlas), maka Rasulullah saw bersabda: ‘Wajib baginya,’ Aku tanyakan: ‘Apa yang wajib?’ Baginda menjawab: ‘Syurga.” – Hadis Riwayat Imam Malik

Memberikan Kecukupan Setiap Hari

Daripada Usaid bin Abi Usaid, daripada Mu’adz bin Abdillah bin Habib, daripada ayahnya, dia menuturkan: “Kami pernah merasa haus dan berada dalam gelap gulita, sedangkan kami tengah menunggu Rasulullah saw solat bersama kami. Lalu Baginda keluar dan memegang tanganku seraya berkata: ‘Katakanlah’ Maka aku pun terdiam. Baginda berkata lagi: ‘Katakanlah.’ Aku tanyakan:
‘Apa yang harus aku katakan?’ Baginda menjawab: Al-Ikhlas. al-Mu awwidzatain (Al-Falaq dan An-Nas) saat memasuki waktu petang dan saat memasuki waktu pagi hari sebanyak tiga kali, nescaya akan diberi kecukupan kepadamu setiap hari dua kali.” – Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasa’ie

Menjadi Amalan Nabi Muhammad Sebelum Tidur

Quaibah memberitahu kami, al-Mufadhdhal memberitahu kami, daripada Ugail, daripada Ibnu Syihab, daripada Urwah, daripada Aisyah ra bahawa jika Rasulullah saw berbaring di tempat tidur setiap malam beliau menyatukan kedua telapak tangannya, lalu Baginda meniupnya seraya membaca pada keduanya: (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas). Setelah kemudian, Baginda mengusapkan kedua telapak tangan Baginda itu ke bahagian-bahagian tubuh yang mampu Baginda jangkau, Baginda memulainya dari kepala, wajah, dan anggota tubuh badan di hadapan. Baginda melakukan hal tersebut sebanyak tiga kali. – Hadis Riwayat Bukhari

Kelebihan Surah al-Falaq dan Surah An-Nas

Daripada Ugbah bin Amir ra, bahawa dia berkata: "Rasulullah saw pernah bersabda: "Tidakkah engkau melihat beberapa ayat yang telah diturunkan pada malam ini yang belum ada sama sekali yang serupa dengannya; iaitu Qul a'ûdzu bi Rabbil Falag (surah al-Falaq) dan Qul a'ûdzu bi Rabbin Nâs (surah An-Nas)." - Hadis Riwayat Muslim
Daripada Aisyah ra bahawasanya jika Rasulullah saw merasa sakit, maka Baginda pun membacakan untuk dirinya Al-Mu'awwidzatain (surah Al-Falaq dan Surah An-Nas) dan meniupnya. Dan ketika rasa sakitnya semakin parah, maka aku membacakan kepada beliau Al-Muawwidzât (surah Al-Falaq dan Surah An-Nas), lalu aku mengusapkan tangan beliau padanya dengan mengharapkan berkahnya. - Hadis Riwayat Bukhari