Surah Al Nasr – Rumi, Terjemahan, Tafsir Ringkas, Kelebihan dan Pengajaran

Surah ini dinamakan sebagai ‘al-Nasr’ (atau kemenangan / pertolongan) dalam bahasa melayu) kerana Allah swt menyebut akan kejayaan Nabi Muhammad saw dan agama Islam di dalamnya. Surah yang mengandungi 3 ayat ini turun sesudah surah al-Hasyr dan sebelum surah an-Nur.

Surah ini turun pada ketika Nabi Muhammas saw pulang dari Perang Khaibar. Ada juga pendapat mengatakan ia turun pada ketika Nabi saw sedang mengerjakan Haji Wada’ iaitu di Mina pada hari Tasyriq.

Pendapat lain ada juga mengatakan ia turun sewaktu Baginda pulang dari Perang Hunain. Surah yang diturunkan di Madinah ini juga dinamakan sebagai surah Iza Jaa Nasrullah dan surah at-Taudi’ (selamat tinggal).

Daripada Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah, dia berkata: "Ibnu Abbas pernah berkata kepadaku: 'Wahai Ibnu Utbah, apakah engkau tahu akhir surah al-Qur-an yang diturunkan? Ya, iaitu kemenangan,' jawabku. Dia pun berkata: 'Engkau benar." - Hadis Riwayat An-Nasa'ie

Surah al Nasr – Jawi, Rumi dan Terjemahan Bahasa Melayu

Ejaan Rumi Surah al Nasr

  1. Idzaa jaa-a nashrullaahi wal fathu.
  2. Wa ra-aytan-naasa yad-khuluuna fii diinilaahi afwaajaa.
  3. Fasabbih bihamdi rabbika wastaghfirhu innahu kaana tawwaabaa.
Ringkasan Tafsir Surah Al Nasr – Terjemahan Rumi, Kelebihan dan Pengajaran

Terjemahan Bahasa Melayu Surah al Nasr

  1. Apabila telah datang pertolongan Allah swt dan kemenangan
  2. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah swt dengan berbondong-bondong
  3. Maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Ringkasan Tafsir Surah al Nasr – Kelebihan dan Pengajaran Ayat

Tema surah ini ialah mengenai kemenangan Islam yang menjadi isyarat bahawa ajal Nabi Muhammad saw semakin hampir. Hakikat ini diketahui melalui peristiwa pembukaan Kota Mekah yang menampakkan kejayaan Nabi saw dalam mendapatkan kemenangan (al-Nasr) dan pembukaan (al-fath) – Ayat 1 – 3.

Abu Bakar al-Bazzar dan al-Baihaqi, mentafsirkan penjelasan Ibnu Umar: “Surah ini,(Idzaa jaa-a nashrullaahi wal fathu),’datang pertolongan Allah dan kemenangan,’ turun kepada Nabi saw di pertengahan hari Tasyriq, sehingga Baginda tahu bahawa ia surah yang terakhir. Kemudian Baginda memerintahkan binatang tunggangannya, Qushwa, untuk melakukan perjalanan, maka unta ini pun berangkat. Lalu Baginda berdiri dan berkhutbah yang masyhur itu di hadapan umat.

Daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Umar al-Khattab berkata: “‘Bagaimana pendapat kalian perihal firman Allah saw:(Idzaa jaa-a nashrullaahi wal fathu)’Apabila telah datang pertolongan Allah saw dan kemenangan.'”

Sebahagian mereka menjelaskan: ‘Kita diperintahkan untuk memanjatkan pujian kepada Allah dan agar memohon ampunan kepadanya, sebab Dia telah memberikan pertolongan dan kemenangan kepada kita.

Adapun sebagian lainnya yang terdiam, tak melontarkan sepatah kata pun. Kemudian Umar pun bertanya kepadaku: ‘Apakah pendapatmu juga demikian, wahai Ibnu Abbas?’

Lalu aku katakan: ‘Tidak.’ ‘Lalu bagaimana pendapatmu?’ tanya Umar.
Maka aku pun menjawab: ‘Itulah ajal Rasulullah saw yang Allah swt beritahukan melalui wahyu kepada Baginda.’

Alah saw berfirman: (Idzaa jaa-a nashrullaahi wal fathu)’Apabila telah datang pertolongan Allah saw dan kemenangan.’, yang ertinya ialah demikianlah tanda dekatnya ajalmu.

(Fasabbih bihamdi rabbika wastaghfirhu innahu kaana tawwaabaa) ‘Maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat.’

Kemudian Umar bin al-Khathab berkata: ‘Aku tidak mengetahuinya melainkan apa yang engkau katakan itu.'”

Hadis Riwayat Bukhari

Penafsiran yang diberikan Ibnu Abbas dan Umar al-Khattab ra, bahawa dalam surah ini Allah memberitahu Rasulullah tentang roh beliau yang mulia. Dan Dia memberitahu, jika kamu (Muhammad) telah berhasil membebaskan kota Makkah, iaitu kampungmu sendiri yang kamu dahulu diusir darinya, sedang orang-orang berduyun-duyun memeluk agama Allah. Kemudian kini perhatian Kami kepadamu di dunia telah berakhir, kerana itulah bersiap-siaplah untuk menghadap Kami. Sebab, akhirat lebih baik bagimu dibanding dunia. Dan kelak, Rabbmu akan memberimu anugerah sehingga kamu menjadi puas. Oleh kerana itu, Dia berfirman: “Maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mobonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.”